FILEM MALAYSIA SAMPAH?

Apabila berbicara tentang kualiti filem di Malaysia ramai yang mengatakan bahawa kualiti filem di Malaysia masih lagi tidak mencapai taraf antarabangsa. Rata-rata sering memberi hujah tentang kandungan filem atau drama di Malaysia lebih berkisarkan kisah cinta yang klishe. Tidak kurang daripada itu, dengan lambakan pelakon-pelakon muda yang kaku lakonan memenuhi setiap corot drama-drama di Malaysia.

Sebenarnya kita perlu melihat secara positif terhadap setiap perkembangan industri perfileman di Malaysia. Kritikan negatif yang dilemparkan oleh segelintir pihak terhadap karya seni di Malaysia seperti sampah adalah satu kritikan yang tidak berasas. Sehingga ke hari ini masih wujud pihak sedemikian dengan beranggapan bahawa masih tiada titik perubahan di dalam sektor industri perfileman di Malaysia. Mungkin segelintir masyarakat terlepas pandang terhadap beberapa hasil karya filem tempatan yang boleh saya katakan agak berkualiti dari segi kandungannya, hasil kerja produksi, aspek sinematografi, suntingan, dan sebagainya yang boleh menjadi kebanggaan rakyat Malaysia.

Seperti filem Terbaik dari Langit hasil sentuhan pengarah muda iaitu Nik Amir Mustapha, yang pada kami boleh dikatakan sebuah karya yang agak berkualiti yang pernah di hasilkan oleh penggiat seni tempatan. Filem ini turut diangkat sebagai filem terbaik dalam acara Festival Filem Antarabangsa ASEAN 2015.  Seterusnya filem ini juga turut memenangi beberapa anugerah menerusi Festival Filem Malaysia ke-27. Filem yang bergenre sains fiksyen ini dilihat gagal meraih perhatian penonton kerana tidak berada di dalam senarai Box Office di Malaysia. Namun filem tersebut kurang mendapat sambutan atas sebab-sebab tertentu yang kami rasakan oleh sikap penonton di Malaysia itu sendiri yang menyebabkan filem-filem sebegini tidak diangkat menjadi filem terbaik.

 Sumber: rotikaya.com 

Seterusnya filem yang pernah dilanda kontroversi iaitu menerusi filem Lelaki Harapan Dunia (Men Who Save The World) arahan Liew Seng Tat. Filem ini dikatakan menyentuh isu-isu sensitiviti masyarakat Melayu yang kononnya percaya dan taksub kepada perkara-perkara ghaib. Kesan daripada polimik dalam kalangan penggiat seni di Malaysia telah menyebabkan tayangan filem ini ditarik balik atas sebab-sebab tertentu walaupun pada mulanya Lembaga Penapisan Filem (LPF) pernah mengeluarkan kenyataan bahawa filem ini bebas daripada sebarang isu-isu sensitiviti.

Kesan daripada kontroversi ini telah menyebabkan filem ini gagal dalam meraih senarai Box Office. Pada kami filem ini cukup baik untuk dilihat dengan positif kerana ia mampu membuatkan penonton untuk berfikir dan menilai sejauh manakah pemaparan yang dipaparkan menerusi filem tersebut menjadi faktor pendorong kepada kemaslahatan dalam kalangan masyarakat di Malaysia. Namun begitu, filem ini masih berjaya memenangi lima anugerah daripada 12 pencalonan dalam Festival Filem Malaysia ke-27. Filem ini juga turut memenangi tiga anugerah daripada empat pencalonan di Anugerah Skrin 2015.

 Sumber: mynewshub.cc

Jadi pada pendapat kami antara faktor mengapa dan kenapa penggiat seni tanah air banyak menghasilkan karya-karya yang bersifat ringan adalah disebabkan oleh faktor kekangan dalaman yang menjadikan setiap karya yang dihasilkan dibatasi dengan lembaga penapisan. Setiap penggiat seni mahukan karya mereka ditayangkan kepada umum dan tidak dihalang daripada mana-mana pihak untuk menayangkan hasil karya mereka kepada umum. Oleh sebab itulah wujudnya karya-karya yang boleh dikatakan bersifat ringan dan klishe di Malaysia hari ini. Atas sebab tidak mahu menanggung kerugian, maka karya-karya yang dihasilkan lebih kepada tujuan untuk meraih keuntungan semata-mata.

Jika dilihat pada senarai kedudukan filem Box Office Malaysia antara senarai filem yang tersenarai dalam kedudukan teratas adalah berada dalam kategori filem-filem yang bersifat ringan seperti genre filem cinta, seram, drama dan sebagainya. Selain itu, antara hasil karya terdahulu yang baik tetapi juga turut menerima kritikan adalah daripada Yasmin Ahmad. Filem beliau boleh dikatakan mempunyai satu unsur kekaguman yang berbeza dengan hasil karya-karya tempatan yang lain.

Sepet (2004), Gubra (2006), Mukhsin (2007), Muallaf (2008) dan Talentime (2009) merupakan filem-filemnya yang mempunyai gaya penceritaan yang tersendiri malah pada ketika itu kita tidak perlukan sudut kamera yang cantik untuk menyampaikan cerita tersebut. Kisah cinta yang dipaparkan oleh beliau bukan sekadar kisah cinta “luar biasa” yang tertumpu kepada harta, kekayaan dan seksual tetapi lebih dari itu. Nilai penceritaan yang dipaparkan turut menitik beratkan latar kepelbagaian budaya, etnik dan agama. Plot dan naratif yang datangnya dari hati itu dikatakan mempunyai unsur-unsur yang tidak baik kepada masyarakat.

 Sumber: poskod.my

Hampir kebanyakan filem yang berkualiti mendapat kritikan hebat daripada sesetengah pihak dari dalam Malaysia itu sendiri namun filem itu jugalah yang mendapat anugerah dan pengiktirafan dari luar negara. Benarkah filem Malaysia sampah? Atau kita buta dalam mengklasifikasikan filem mana yang baik ataupun tidak. Lebih tepat lagi mungkin kita lebih suka cerita yang mudah difahami dan di hadam tanpa memikirkan nilai dan mesej yang telah diletakkan oleh sesetengah pengarah kita?

Kami akui bukan mudah untuk menulis sesebuah skrip, merangka plot dan penceritaan yang baik kerana kami juga pernah melaluinya, malah kami menghargai karyawan-karyawan yang sanggup menulis skrip daripada adaptasi kisah hidup mereka yang lahir dari hati mereka. Jika diberi peluang, kami juga ingin bekerjasama dalam pembangunan filem di Malaysia agar sampah itu boleh kami kitar semula menjadikan ia sesuatu yang lebih baik.

Jika berkongsi tentang filem, pastinya memakan masa yang lama untuk kita ceritakan satu per satu tetapi setakat ini dahulu pendapat kami tentang filem di Malaysia ini. Sekadar peringatan, ini cuma pendapat kami yang tiada unsur paksaan untuk anda bersetuju ataupun tidak tetapi ruangan ini memberi peluang untuk mereka yang mempunyai pendapat yang ingin mereka usulkan tidak kira sama ataupun berbeza.

Dicopy : http://pendapatkami.wix.com/peka#!FILEM-MALAYSIA-SAMPAH/c21kp/5760e64f0cf2c6c57264e351
Share on Google Plus

About Unknown

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment

0 comments:

Post a Comment