8 Fakta Kebangkitan OAG Disingkap!

Setelah album pertama mereka mencapai Triple Platinum pada tahun 1996, OAGmuncul kumpulan muzik tersohor dekad itu. Ketahui kisah di sebalik kebangkitan mereka ke puncak kegemilangan yang mungkin belum anda ketahui:

60’s Crunchy Pop Fuzz

OAG mengetengahkan genre muzik mereka tersendiri, “60’s crunchy pop fuzz”, dengan bunyi yang tidak pernah dibawakan oleh mana-mana kumpulan ketika itu. Ia terhasil apabila kesan pedal gitar yang mereka gunakan diadun dengan kepakaran penulisan lagu Radhi, menjadi blueprint unik OAG yang dikenali ramai.

Demo, Demo, Demo!

Sebelum ditawarkan kontrak rakaman, OAG telah merakamkan tiga pita ragaan di sebuah studio di Kompleks Wilayah menggunakan wang saku sekolah masing-masing. Mereka kemudian merayau-rayau di sekitar Kuala Lumpur mempromosikan pita tersebut di jalanan termasuk kepada pelancong asing. Pita demo tersebut disalin sendiri. Untuk mengurangkan kos, mereka membeli kaset artis tidak popular di Chow Kit pada harga RM0.50 sen sekeping dan menyalin lagu-lagu mereka di atas lagu-lagu kaset tersebut. “Saya masih ingat orang bertanya, ‘Kenapa demo korang ada lagu Cina kat belakang?’”kata Qi, pemain dram asal kumpulan ini.

Hubungan dengan Si Kiwi

Paul Moss, yang terkenal sebagai pemain gitar The Fan Club dari New Zealand, berhijrah ke Malaysia untuk mencari bakat baru dan menghasilkan album. Apabila disorong pita OAG, Paul terus terpukau lantas menyedari keistimewaan kumpulan ini. Beliau bagaimanapun perlu meyakinkan pemilik Positive Tone, yang pada masa itu hanya selesa menghasilkan lagu iklan radio. Pengurusan Positive Tone menyangka Paul tidak waras kerana ingin mengikat kumpulan ‘underground’ yang membawakan lagu Inggeris. Menurut Paul: “Saya memberitahu mereka, kita melakukan kesilapan besar jika melepaskan peluang ini! Mereka mempertimbangkan semula dan akhirnya bersetuju.”




 Qi dan Lam di studio bersama penerbit Paul Moss © Paul Moss

Sessionist Tidak Dibenarkan!

Tatkala Paul Moss begitu yakin dengan kumpulan ini, eksekutif syarikat rakaman pula ingin menukar nama OAG dan membawa masuk sessionist seperti Man Kidaluntuk memainkan muzik bagi album pertama mereka. Qi teringat: “Ada abang ni suka baling kotak rokok atas meja dan tanya soalan macam, ‘Kau ingat album kau ni boleh jual? Kau orang ada rupa, tapi tak boleh main!’” Syukurlah, OAG menolak sessionist dan bertegas dengan keputusan mereka.

Hanya untuk Satu Hujung Minggu

Album sulung mereka direkodkan dalam hanya satu hujung minggu kerana pemain gitar, Ivan, terpaksa terbang ke Australia untuk meneruskan pengajian. Ia juga kerana studio rakaman tidak cukup peralatan. Paul meminta bantuan pemilik label Positive Tone, Kenny Tay (ahli kumpulan popular Kenny, Remy & Martin), untuk mendapatkan “tajaan” peralatan daripada Bentley Music. Bentley Music bersetuju, tetapi hanya untuk satu hujung minggu. Semua perlu dipulangkan keesokan harinya!

Idola Remaja

Jelajah pertama OAG tidaklah begitu rock n roll kerana menjelajah bersama akhbarNew Straits Times, yang ketika itu sedang mempromosikan sisipan terbaharu untuk remaja, Youth Quake. Tetapi ketika itulah OAG berjaya menarik peminat daripada arus perdana. Bagaimana tingkah laku mereka ketika itu? “Mereka ini masih remaja dan berperangai baik,” kata Fatimah Abu Bakar, penyunting di NST pada ketika itu. “Kita tiada masalah dengan mereka. Dia orang ni sangat manja, terutama Qi dan Radhi.”




 OAG semasa jelajah pertama mereka © Radhi

Permainan Media

Media arus perdana buntu memikirkan cara untuk menyajikan OAG kerana kumpulan ini dianggap sebagai artis Bahasa Inggeris. Menurut Ahmad Izham Omar, bos Positive Tone di ketika itu, wartawan bertegas ingin menjual “muka jambu” ahli kumpulan ini. “Saya masih ingat walaupun album ini telah dilancarkan, kita terima sokongan suam-suam kuku. Seorang wartawan wanita daripada sebuah majalah berkata, ‘OK dik, kita bawak dorang pergi Templer’s Park’. Dan saya bertanyakan mengapa? ‘I nak dorang masuk dalam air terjun, bagi dorang basah’. Kita menolak.” OAG, bagaimanapun, mendapat sokongan padu daripada media berbahasa Inggeris dan fanzine.




 Media berbahasa Inggeris sering menyokong OAG © New Straits Times

Menggapai AIM

Walaupun album sulung mereka tidak memenangi Anugerah Industri Muzik (AIM, iaitu Anugerah ‘Grammys’ Malaysia), OAG berjaya memenangi anugerah untuk album kompilasi, Boys & Girls, 1+1 = 3. Ianya merupakan pengiktirafan bagi kumpulan-kumpulan ‘underground’ secara keseluruhannya. Rina Omar, pemain dram IntoXicated iaitu salah sebuah kumpulan di dalam album kompilasi tersebut, teringat peristiwa malam tersebut: “Ketika pemenang diumumkan, lagu IntoXicateddimainkan oleh penganjur! Tapi kami hanya duduk di situ sambil berfikir, ‘Kita menang ke?’ Agak lama selepas itu barulah kami sedar apa yang berlaku dan terus berlari naik ke pentas sambil terlompat-lompat kegembiraan. Kami menyambar trofi tersebut dan berkata, ‘Wow, this is awesome!’” Malangnya, Radhi terlepas saat itu kerana beliau berada di luar dewan, merokok.
Sebahagian daripada cerita di atas dipetik daripada buku “How ‘60’s TV’ Changed The 90’s: The OAG Story” yang kini boleh didapati di kedai-kedai buku dan online di www.merpatijingga.com







Share on Google Plus

About Unknown

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment

0 comments:

Post a Comment