Berita ini mungkin akan membuatkan penyokong Belgium tidak senang duduk menjelang perlawanan kalah mati menentang Hungary dalam Piala Eropah 2016.
Dalam temuramah ketua jurulatih Belgium, Marc Wilmots dengan akhbar Belgium, Sporza, beliau mengaku pemain tengahnya Radja Nainggolan merokok dan membenarkannya merokok.
Menurut Wilmot:
“Ya, Radja merokok. Ia tabiat yang banyak dilakukan oleh pemain bola sepak di Itali dan Perancis.”
“Jika dia perlu merokok, saya takkan larangnya. Saya fleksibel. Dia boleh buat apa yang dia suka dengan badannya asalkan dia dapat memberikan persembahan yang bagus.”
Wilmots ditanya oleh wartawan Sporza mengenai isu ini selepas video Youtube menunjukkan pemain AS Roma yang dikaitkan dengan Chelsea itu menayang-nayang rokok Marlboro Light beliau.
Wilmots turut mendedahkan disebabkan tabiat merokoknya, beliau sentiasa memastikan Naiggolan mendapat bilik yang mempunyai balkoni supaya penggera asap (smoke alarm) bilik hotel tidak berbunyi.
“Saya rasa dia seorang sahaja yang merokok dalam skuad Belgium,” tambah Wilmots lagi.
Pernah larang
Ketika ditanya jika ada beliau pernah melarang Nainggolan daripada merokok, Wilmots menjawab:
“Pernah. Saya pernah larang dia merokok sampai 5-6 batang sehari. Tetapi dia akan mengamuk dalam biliknya.”
“Kalau dia hanya dapat main sampai umur 30 tahun ketika pemain lain boleh bermain sehingga umur 35 tahun, dia hanya boleh salahkan diri sendiri. Itu masalahnya.”
Reaksi Nainggolan
Sejurus selepas berita beliau merokok tersebar di media Belgium, rata-rata penyokong Belgium agak tenang.
Hasil undian Sporza, 72% pembacanya memilih jawapan ‘Nainggolan bebas melakukan apa yang dia suka kepada badannya’ kepada soalan ‘Wajarkah Nainggolan berhenti merokok?’.
Tetapi masih ada sebilangan kecil penyokong Belgium yang mengutuk tabiat buruk Nainggolan itu sehingga mendorong pemain tengah Belgium itu menulis tweet:
“Esok bila saya minum segelas wain, orang cakap saya ni pemabuk pula. Kita kena bercakap tentang Piala Eropah dan bola sepak. Bukannya perkara bodoh.”
0 comments:
Post a Comment