Ulama larang wanita ‘uzur’ makan di tempat awam




Kemeriahan umat Islam mengejar kelebihan sepuluh malam terakhir Ramadan dikejutkan dengan tindakan segelintir muslimah yang uzur dan makan di khalayak umum.
Saudari Maryam Lee yang mendakwa emosi dan haknya telah diganggu apabila ditegur kerana tindakannya itu telah mendapat simpati pihak tertentu.
Lebih malangnya, apabila Saudara Wan Ji yang cuba menyokong tindakan muslimah ini dengan mengaitkan bahawa tidak ada larangan dalam Islam untuk seorang muslimah yang uzur makan secara terbuka di hadapan khalayak pada bulan Ramadan.
Saya merasa terpanggil untuk mengulas isu ini. Perbuatan makan di hadapan khalayak bagi wanita yang uzur pada bulan Ramadan adalah satu perbuatan yang tidak sopan.
Apatah lagi perbuatan menuntut supaya haknya dihormati dengan meminta umat Islam lebih bersikap terbuka untuk menghormati golongan hawa yang ‘uzur’ supaya dapat bebas makan di hadapan umum adalah satu tuntutan yang pelik dan dangkal. Tuntutan dan perbutan ini amat jauh lari daripada Islam dan kehidupan harmoni masyarakatnya.
1)Disebut dalam kitab Al isnaf oleh Al Mardawi, Imam Al Qhadi seorang ulama’ dari kalangan solafussoleh berkata:
“Diingkari terhadap siapa yang terang-terangan makan di siang bulan Ramadan meskipun dia memiliki uzur.”
2) Disebut juga dalam kitab Al Furu oleh Ibn Hanbal Ali bin Sulaiman Mardawi, perbuatan ini adalah dilarang secara mutlak.
3) Ada yang bertanya di hadapan Imam ibnu Aqil, wajib melarang musafir, orang sakit, wanita haid untuk berbuka secara terang-terangan agar dirinya tidak tertuduh.
Ibnu Aqil berkata, jika dia memiliki uzur tersembunyi, maka dia dilarang memperlihatkannya seperti sakit yang tidak ada tandanya atau musafir yang tidak ada bekasnya.
Perlu diingat, bahawa Imam Al Qadhi dan Imam ibnu Aqil adalah ulama’ tersohor yang hidup di zaman solafussoleh.
Generasi terbaik umat Islam yang diiktiraf oleh Nabi saw sendiri dalam hadithnya daripada riwayat Muslim:
“Sebaik baik umatku ialah yang hidup pada kurunku, kemudian yang mengikuti zaman mereka(tabiin) dan kemudian yang mengikuti zaman mereka tabi tabiin)…”
Hadith ini menceritakan tentang kelebihan para sahabat dan kelebihan dua generasi selepas mereka merupakan umat manusia yang terbaik yang diperakui sendiri oleh Nabi saw dan kebaikan yang diperakui tersebut merupakan kebaikan dari sudut pegangan aqidah, kefahaman dan pegangan agama yang betul.
Sebab itulah kita katakan perbuatan dan tuntutan untuk hormat orang yang tidak berpuasa di khalayak umum pada siang hari bulan Ramadan meskipun ada uzur adalah tuntutan yang dangkal dan aneh.
Justeru, amat lari daripada landasan syarak. Apatah lagi perkara ini bukan isu sensitiviti serta sentimen masyarakat Melayu semata mata sebagaimana dakwaan Saudara Wan Ji untuk cuba lari daripada batasan syarak.
Saya juga ingin menyeru Muslimah agar merasa banggalah dengan sifat malu.
Kerana sifat ini adalah benteng utama daripada kita terjerumus ke lembah dosa dan kemurkaan Allah. Rasulullah saw mendidik umat ini untuk memiliki sifat malu dalam ungkapan hadithnya yang bermaksud:
“Apabila kamu tidak malu, maka buatlah apa yang kamu mahu.”
Bukankah makan di khalayak umum bagi seorang wanita yang ‘uzur’ adalah perbuatan yang tidak sopan. Malu malulah sikit…
Saudari Maryam Lee mendakwa bahawa hak perutnya yang sedang kelaparan telah diganggu dengan teguran dan persepsi masyarakat. Saudari, berhati hati ketika bercakap. Fikrlah tentang kepentingan umum.
Islam bukan melarang untuk wanita haid makan dan minum di siang hari. Tetapi makanlah secara sembunyi.
Sehingga tidak mengganggu kepentingan umum. Dalam isu ini, ada satu qaedah fiqhiyyah yang telah digariskan oleh syarak untuk menjaga maslahat umum.
Kaedah ini menyebut “ Ditanggung kemudharatan khas untuk menolak mudarat umum”.
Kaedah ini memberitahu kita bahawa pada asalnya, setiap individu berhak melakukan sebarang perkara atau aktiviti yang memberi manfaat kepada diri sendiri dan umum.
Perkara ini semestinya terhindar daripada melakukan kerosakan dan kezaliman terhadap masyarakat umum. Namun begitu, syariat bertindak mencegah seseorang sekiranya individu itu melakukan kemudaratan ke atas orang lain walupun dirinya mengalami kemudharatan atas sebab tegahan itu.
Banyak kepentingan umum yang akan terjejas bila muslimah yang ’uzur’ makan di khalayak. Kepentingan yang terbesar ialah ruh Ramadan akan hilang dan terhakis daripada masyarakat Islam.
Bila ruh dan syiar ini hilang,maka hilanglah ciri-ciri dan keistimewaan sebuah masyarakat Islam dan inilah yang menjadi cita cita terakhir dan agenda musuh Islam. Agar umat Islam kehilangan satu per satu ruh ibadah.
Malaysia adalah sebuah negara yang majoriti rakyatnya beragama Islam. Badan-badan Islam samada badan kerajaan atau bukan kerajaan telah memainkan peranan yang baik untuk memastikan pengamalan Islam dirasai oleh umat Islam di Malaysia.
Masyarakat Islam di Malaysia sangat kaya dengan budaya dan cara hidup Islam yang telah meresapi jiwa penganutnya. Senario inilah yang dicemburui oleh golongan yang memusuhinya.
Budaya Islam yang telah subur ini haruslah kita pertahankan dan perjuangkan. Tindakan merubah sesuatu yang telah sedia baik bukanlah satu tindakan yang bijak.
Selamat beribadah di malam sepuluh terakhir Ramadan. Semoga Allah anugerahkan Lailatul Qadr.
Ustazah Siti Umi Kalsom Hussin
Aktivis Ikatan Muslimin Malaysia cawangan Klang
Penafian: Artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Islam dan Melayu sederhana. Ia juga tidak mewakili pendirian rasmi Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.
Share on Google Plus

About Unknown

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment

0 comments:

Post a Comment